LOS ANGELES: Stan Lee, pencipta barisan adiwira untuk siri komik Marvel meninggal dunia pada usia 95 tahun, kata anak perempuannya semalam.
Selain Spider Man, mendiang turut terbabit mencipta Iron Man, Hulk, Black Panther dan sering membuat penampilan khas dalam siri filem pecah panggung yang diadaptasi dari komik berkenaan. Sebagai seorang penulis serta editor, Lee adalah tunjang kemasyhuran komik Marvel pada tahun 1960an menerusi kerjasama dengan pelukis berbakat seperti Jack Kirby dan Steve Ditko, apabila mencipta barisan adiwira yang menarik minat pembaca muda. “Beliau merasakan adalah satu kewajipan kepada peminat untuk terus berkarya. Mendiang mencintai hidupnya dan pekerjaan yang dilakukan. Beliau disayangi keluarga serta peminat. Kehilangannya tidak mungkin berganti,” kata anak perempuannya, J.C. Lee dalam satu kenyataan.
Lee tidak mendedahkan punca kematian bapanya namun laman web selebriti, TMZ berkata, beliau menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Cedars-Sinai selepas dikejarkan ke sana dengan ambulans dari kediamannya di Hollywood Hills awal pagi semalam. “Stan Lee adalah manusia luar biasa seperti watak yang diciptanya,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Walt Disney Co, Bob Iger dalam satu kenyataan. “Skala imaginasi yang dimilikinya tidak terbatas,” katanya.
Disney membeli saham Marvel Entertainment pada 2009 dengan nilai AS$4 bilion (RM16.74 bilion) menerusi perjanjian untuk memperluaskan karakter milik Disney dan sebahagian besarnya adalah hasil karya mendiang. Lee terkenal dengan penampilan khas dalam kebanyakan filem Marvel, antaranya menarik keluar seorang gadis dari runtuhan dalam filem ‘Spider Man’ tahun 2002 dan pengacara majlis di sebuah kelab tarian bogel untuk filem ‘Deadpool’ pada tahun 2016.
Menerusi filem pecah panggung ‘Black Panther’, iaitu watak adiwira berkulit hitam, Lee beraksi sebagai pemilik kasino. - Reuters
PARIS: Legenda komik seni manga Jepun,
Jiro Taniguchi meninggal dunia semalam di Tokyo pada usia 69 tahun, kata
penerbitnya Casterman.
"Casterman
dengan rasa duka cita mengumumkan Jiro Taniguchi meninggal dunia pada
11 Februari," kata syarikat itu menerusi laman web, mengucapkan takziah
kepada keluarga artis itu.
Hasil
seni Taniguchi menerima pengiktirafan menerusi karya seperti "The
Walking Man", "The Summit of the Gods" dan "The Magic Mountain". Beliau
dipuji kerana hasil lukisan yang halus dan landskap yang indah.
Dilahirkan
pada 1947 dalam sebuah keluarga sederhana di bandar Tottori, kira-kira
100 kilometer di timur laut ibu negara lama bandar diraja Kyoto. Kartun
pertama yang dihasilkannya diterbitkan pada 1970.
Beliau
sangat popular di Perancis, salah sebuah pasaran terbesar untuk hasil
karya grafik dan pada 2015 Festival Kartun Tahunan yang diadakan di
bandar Angouleme mengadakan pameran untuk mengimbau kembali semua hasil
karyanya.
Ketika
temubual AFP di Tokyo pada 2012, mendiang Taniguchi memberitahu, beliau
tidak menggunakan komputer kerana tidak tahu menggunakannya.
"Saya
tidak mempunyai kemahiran itu. Saya juga tidak tahu kenapa saya lebih
dikenali di luar Jepun. Mungkin kerana hasil karya saya sama dengan
komik Barat, yang saya ikuti lebih 30 tahun hingga ia mempengaruhi minda
bawah sedar saya," katanya. - AFP
KEUNGGULAN PELUKIS ILUSTRASI NORMAN ROCKWELL:
PELOPOR ILUSTRASI KULIT BUKU YANG PROLIFIK
Menurut pengarah filem yang terkemuka iaitu Steven Spielberg, tidak ramai pelukis ilustrasi di Amerika yang berjaya menghasilkan suatu impian menjadi realiti dan boleh menyentuh harapan semua pihak. Pelukis ilustrasi yang dimaksudkan itu ialah Norman Rockwell. Beliau seorang pelukis ilustrator yang terkenal di Amerika (1894-1978) dengan hasil lukisannya yang berimejkan situasi sebenar. Melalui hasil figura dari kelompok manusia yang menampakkan kepelbagaian aktiviti telah menjadi suatu naratif yang kuat. Lukisannya dikenali kerana imej yang dipilih dari pengalaman setiap lapisan masyarakat dengan persekitaran hidup dan ramai mengakui ilustrasi yang dihasilkan oleh Norman mengisahkan kehidupan sebenar dalam aktiviti seharian rakyat Amerika.
Ilustrasinya adalah gambaran dari senario seharian rakyat Amerika, mencakupi berbagai lapisan hidup. Karya ilustrasinya menarik perhatian atas ciri-ciri keunggulan merakamkan aktiviti kehidupan orang ramai dalam beberapa kelompok figura yang nampak hidup, saling berintraksi antara satu sama lain. Seolah ada penceritaan yang tersendiri selain pelukisan itu ditambah dengan pilihan sudut gambaran yang sesuai dalam menangkap imej naratif yang tersendiri .
Hasil ilustrasinya terpilih menghiasi kulit majalah yang antaranya ‘The Saturday Evening Post”, ilustrasi cerita bersiri dalam “Willie Gillis”, “Rosie the Riveter”, “Saying Grace”, “Four Freedoms”. Ilustrasinya diberi penghormatan menghiasi kulit buku “Boy’s Life”, hiasan kalender, brosur dan lain-lain lagi.
Beliau dilahirkan di New York pada 3 February 1894. Karya awalnya telah berjaya dipilih dan diterbitkan dalam majalah St. Nicholas, sebuah majalah juvenil yang popular dan Boy Scouts of America. Buku ilustrasi pertamanya muncul pada tahun 1912 yang berjudul “Tell Me Why: Stories about Mother Nature”. Pada tahun 1913, ketika berusia 19 tahun beliau dilantik menjadi ‘art editor’ untuk penerbitan “Boy’s Life”.
Sewaktu Perang Dunia I, ketika berusia 21 tahun beliau berkongsi studio dengan pelukis kartunis Clyde Forsythe dan mulai menunjukkan kejayaan sebagai pelukis ilustrasi untuk hiasan kulit “Mother’s Day Off”. Selepas itu tidak ada lagi perhentian dalam perjalanannya dan terus menempah nama menerusi hasil ilustrasi dalam “Circus Barker and Strongman” ( 3 Jun 1915), “Gramps at the Plate” (5 Ogos1915), “Redhead Loves Hatty Perkins” (16 September 1915), “People in a Theatre Balcony” (14 Oktober 1915), “Man Playing Santa” (9 Disember 1915). Sumbangannya sejumlah 321 ilustrasi untuk kulit “The Saturday Evening Post” yang telah dihasilkan sepanjang 47 tahun. Kejayaan yang berganda dengan penghasilan kulit majalah-majalah popular seperti “Literary Digest”, “The Country Gentleman”, “Leslie’s Weekly”, “Judge”, “People’s Popular Montly” dan “Life Magazine”.
Sewaktu Perang Dunia II, studionya terbakar dan telah memusnahkan banyak kostum dan prop.
Dengan minat yang begitu mendalam di awal 1960-an kebanyakan ilustrasinya berjaya menampilkan imej berkaitan isu hak asasi manusia. Kesungguhannya juga telah ditunjukkan dalam lukisan potret pembesar negara dan orang-orang kenamaan antaranya Presiden Eisenhower, Kennedy, Johnson dan Nixon. Tidak ketinggalan Gamal Abdel Nasser, Jawaharlal Nehru dan beberapa lagi tokoh-tokoh dunia yang kontroversi.
Di kemuncak kejayaannya beliau lebih serius memilih hal benda yang mendekati isu-isu perkauman (racism), isu intergrasi di sekolah, hak asasi manusia dan kritikan sosial. Karyanya juga mendekati kritikan semasa dengan keutamaan sebagai isu dalam kehidupan seharian. Contohnya dalam ilustrasi yang menggambarkan imej seorang murid sekolah dari kaum Afrika-Amerika yang dikawal oleh dua pegawai keselamatan di hadapan dan dua orang di belakangnya. Murid perempuan itu digambarkan berjalan dengan penuh yakin, tegak melangkah dan tangan kirinya memegang buku, pembaris dan pensel walaupun di belakangnya ada buah tomato masam yang dilempar, terpercik ke dinding dan ilustrasinya menjadi imej sindiran yang tajam.
Pelbagai pengaruh dan gaya meresap ke jiwa Norman, sebagai bukti beliau menghasilkannya dengan sentuhan jiwa yang memberi makna mendalam kepada sesiapa yang melihatnya. Di sekitar Eropah, pengaruh dan gaya abstrak bersama Avant-Garde telah meresap begitu cepat dan melengkari kegiatan melukis Norman. Namun dengan rasa ingin mencari dan menerokai sesuatu yang baharu dalam teknik moden telah menjadikan Norman meneruskan pencariannya. Akhirnya terhenti apabila beliau sedar kecenderungannya sebagai artis realis adalah suatu kelebihan diri yang tidak perlu diabaikan. Dengan kelebihan itu beliau mulai meresapkan segala stail dalam pendekatan figuratif naratif. Dalam ketika yang sama kecenderungannya pada Pablo Picasso berubah kepada gaya William Sydney Mount. Segalanya berlaku dengan pantas dalam arus perdana di abad ke-19 ketika itu pengaruh William Sydney dan Winslow Homer turut menjadi ikutan beliau.
Menyentuh dari aspek persembahan ilustrasi, beliau berpegang pada 4 prinsip iaitu:
1. Dari segi konsep
2. Aspek figuratif
3. Penceritaan berlatarkan tempat.
4. Penceritaan berdasarkan perkara atau isu
Empat prinsip utama ini menjadikan setiap konsep ilustrasi, kekuatan figura, sokongan tempat sebagai latar belakang dan hal benda seharusnya bersandarkan isu sezaman.
Setiap lukisan yang disiapkan membawa pembalikan kepada pihak lain. Akan tersentuh walaupun sedikit dan inilah yang diakui menjadi elemen kekuatan yang mengusik nostalgia sesiapa sahaja. Ia adalah suatu pembalikan cermin bagi melihat kembali imej diri, imej masyarakat dan imej sejagat dalam isu-isu kemanusiaan yang pernah dilalui. Pemerhati akan melihat dan berfikir apa yang telah berlaku adalah sejarah dan kisah kehidupan dirinya sendiri dan kisah ini akan berulang yang pasti akan berlaku kepada sesiapa sahaja.
Di awal tahun 1960-an, kesedaran sosial yang lahir dari pengalaman telah menyebabkan Norman mula meletakkan idea dan imej yang dilukisnya perlu meninggalkan kesan kukuh dan mantap dalam fikiran orang ramai. Beliau meletakkan negara bangsa dalam visi yang boleh dicapai oleh semua peringkat. Kesedaran yang realistik dan pragmatik adalah suntikan idea yang pasti disentuh dalam setiap lukisan ilustrasinya dan setiap masalah itu berada dalam tempoh masa yang realistik untuk mengajak pemerhati bersama dalam isu yang diutarakan dan berfikir bersama. Selepas kematiannya pada tahun 1978 sehingga kini, hasil ilustrasi Norman Rockwell meninggalkan satu sinar harapan bagi pejuang hak kebebasan, kesamaan sosial dan hak asasi kemanusiaan diperjuangkan melalui imej-imej yang mudah dikenali. Situasi latarbelakang di tempat-tempat yang lazim disinggahi oleh orang ramai dijadikan sokongan yang kuat sebagai kekuatan konsep, tempat, perkara dalam aksi figuratif. Ini menjadikan Norman bersama impiannya dapat dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Amerika.
Dengan bakat dan keunikannya dirakamkan dalam rentetan sejarah menjadikan perkembangan pelukis-pelukis ilustrasi kulit buku dan majalah mencapai suatu revolusi dan pelopor kepada generasi seterusnya. Beliau muncul ditengah-tengah perhatian masyarakat yang ketika itu tertumpu pada media eletronik yang lebih canggih.
Selepas 15 tahun kematiannya, beliau masih diingati sebagai pelukis ilustrasi terbaik yang berjiwa kebangsaan. Teknik pelukisannya, isu dan sentuhan imej figuratifnya dalam mood yang berbagai aksi menggambarkan watak sebenar yang mewakili pelbagai peringkat umur. Setiap watak ditunjukkan peranan masing-masing dengan panorama yang menghidupkan hari-hari cemerlang untuk negara bangsa. Norman menjadikan setiap imej dalam ilustrasinya sebagai hal benda dan objek yang dominan bagi menarik perhatian masyarakat.
Dengan sentuhan halusnya, ketelitian garis bersama tektur, sapuan warna yang harmoni dan komposisi yang tepat dalam penjuru yang menampakkan setiap waktu dan aksi itu dapat bercerita sendiri. Ilustrasi sekalipun tanpa dailog, masih difahami kerana ada aksi, perubahan memek muka, figura yang tidak kaku dan gerak bibir itu sebagai mewakili suatu ungkapan yang bermakna.
Antara tahun 1880 hingga 1920-an, revolusi dan pembangunan teknologi percetakan mulai bangkit. Momentum ini telah membawa respons yang pro-aktif oleh Norman bagi mengisi ruang dan peluang dalam membantu mempercepatkan lagi gerakan perubahan dalam teknologi percetakan. Perubahan yang berlaku dikatakan adalah didorong oleh perkembangan ilustrasi, sebagai contoh dari cetakan hitam-putih bertukar pada ‘half-tone’ iaitu proses fotografi yang memberikan warna terang dan bayangan melalui kesan dot dengan kepadatan yang seimbang. Keadaan yang cepat merubah menjadi cetakan potongan kayu atau ‘wood cut’ bersaing bersama litografi.
Bentuk inovasi yang canggih dalam dunia percetakan buku dan majalah mengalami perubahan dari pengaruh ilustrasi yang membawa pada kesan percetakan warna terus berkembang. Media komunikasi seperti akhbar dan majalah berubah wajah. Kemunculan Norman dalam gaya ilustrasi yang menarik serta keriangan warna-warni yang harmoni telah menjadi saingan dan berjaya mengurangkan populariti media eletronik seperti televisyen. Perubahan pemikiran yang cepat ini adalah bukti gerakan lukisan ilustrasi berjaya mempengaruhi berjuta rakyat dari kelas pertengahan yang selama ini cenderung kepada media TV. Penampilan ilustrasi telah menonjol dan mengatasi media sedia ada diTV yang menjadikan penerbitan bercetak meningkat secara mendadak. Antara penerbitan bercetak yang berjaya dieksploitasi menerusi ilustrasi Norman ialah “The Saturday Evening Post”, “Collier’s Weekly”, “Leslie’s Life” (Majalah Jenakarama), “Contry Gentleman”, “Literacy Digerst”, termasuk majalah-majalah juvenal dan majalah popular Amerika seperti St. Nicholas, Youth’s Companion, Harper’s Young People, Boy’s Life. Di sinilah tempat berkumpulnya pelukis, penulis dan hasil ilustrasi kreatif dari generasi muda.
Pada sekitar tahun 1920-an, bakat-bakat muda bergabung bersama Norman bagi mempopularkan imej-imej budaya dalam ilustrasi mereka. Antaranya Maxfoield Parrish, James Montgomery Flagg, Coles Philips, Charles Dana Gibson, Joseph dan Francis.
Dikatakan oleh kebanyakan pengkritik seni bahawa setiap karya ilustrasi Norman menarik minat orang ramai dan dianggap menjadi buku bergambar yang boleh dijadikan lukisan dinding. Ini bermaksud setiap karya ilustrasi Norman meletakkan status imej-imej ilustrasi itu sebagai karya seni yang boleh dibingkai dan diperagakan pada dinding.
Amalan Norman melukis terus dari model sejak dari pertengahan 1930-an telah berubah. Pernah studionya dipenuhi dengan haiwan dan binatang ternakan sewaktu beliau menyiapkan lukisan berkaitan haiwan. Keadaan masa dan perkembangan teknologi telah menggantikan kaedah melukis terus dengan bantuan fotografi dan setiap ilustrasi beliau berdasarkan adegan yang diarah dan dirancang untuk setiap model beraksi.
Norman Rockwell selalu berkata pada diri sendiri, bahawa sudah bertahun beliau melukis dan setakat ini belum lagi menampakkan perubahan yang progresif dalam hasil ilustrasinya. Beliau mencabar diri sendiri bukan kerana hilang keyakinan tetapi masih mencari kekurangan yang menyebabkan Norman meneroka dan menyegarkan kembali memorinya sebagai nostalgia dalam idea berkarya. Beliau mengkaji hasil ilustrasi kulit yang pernah dihasilkan. Melihat kembali sejarah diri dan model-model yang digunakan dan akhirnya bertemu sesuatu yang baru, bahawa dalam setiap ideanya yang asli itu ada suatu reaksi yang terpahat pada ingatan pemerhati. Hal benda, latar belakang, konsep dan watak figura itu adalah kisah benar dan mudah terkena kepada sesiapa sahaja.
Rujukan:
Encyclopedia Britannica – Norman Rockwell: America’s Favorite Illustrator. Saturday Evening Post, Jan. 2009
http://en.wikipedia.org/wiki/Norman_Rockwell
http://www.normanrockwell.com/
Robin Langley Sommer 1993. Norman Rockwell Aclassic Treasury. Bison Book Ltd., Kimbolton House, 117A Fulham Road, London.