Setelah sekian lama kami tidak bertemu dengan pelukis tersohor ini, baru baru ini kami dapat bertemu kembali semenjak bangunan pejabat Gila-gila dan Salina bersebelahan Creatif Enterprise dan Raz Studio, Jalan Pantai Baru, semasa masih ada. Kini tempat itu menjadi kenangan.
Nasah @ Sharif Hassan memang tidak asing lagi dengan watak Bujal di majalah Bujal, sementara Zadin @ Kamarudin Mahpol watak Si Pintar untuk Majalah Kuntum yang masih bertahan sehingga kini.
Kami sama-sama mewarnai dunia kanak-kanak majalah Kuntum dan Majalah Bujal. Kami tidak lagi melukis watak itu lagi sekarang.
Zadin dan Nasah
Raut wajahnya masih sama seperti dahulu lagi ... rindu kami begitu menebal untuk bertemu pelukis kegemaran saya Nasah baru-baru ini saya sempat hadir di hari Walimahtul urus anak beliau di Sentul, Kuala Lumpur.
Kami bertemu sekali lagi bersama rakan-rakan lama Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani KL S Mohamad dan Nasah dan juga kami di perkenal pelukis lama M Daud Shukur pelukis kartun era Majalah Filem
M Daud Shukur dan S. Mohamad
Karya M Daud Shukur yang pernah tersiar di Akbar dan Majalah
komik ini saya fotocopy asal kepunyaan pelukis BUJAL, Nasah pada tahun ... (tak ingat ) Terima kasih NASAH (Sharif Hassan) sempat juga saya simpan copynya
Pernahkah korang membaca Siri kartun "Keluarga Mat Jambul"?. Siri kartun "Keluarga Mat Jambul " ini dihasilkan oleh Raja Hamzah. Watak kartun ini disiarkan sejak keluaran sulung Berita Harian pada 1 Julai 1957 hingga 1981. Keluarga Mat Jambul menampilkan kisah-kisah lucu dalam kehidupan seharian watak utamanya Mat Jambul dan isterinya Gayah. Asal usul nama Mat Jambul boleh dirujuk kepada dua sumber : pertama adaptasi fonetik nama "Gambols" dalam bahasa Melayu, dan kedua, ia merujuk kepada stail rambut jambul yang popular di kalangan lelaki dekad 50-an dan 60-an.
Siapa Raja Hamzah?Kalau korang hendak tahu, Raja Hamzah ini ialah kartunis dan pelukis komik tanah air yang terkenal lagi berpengaruh pada awal perkembangan kartun Melayu pada dekad 1950 –an. Beliau merupakan kartunis dan pelukis komik penting dalam akhbar Melayu menjelang dan selepas kemerdekaan. Raja Hamzah pernah bekerja untuk penerbit penting akhbar-akhbar Melayu, iaitu Utusan Melayu Press dan The Straits Times. Siri-siri kartun dan komiknya muncul dalam Utusan Melayu pada dekad 50–an , dan diterbitkan berterusan dalam akhbar Berita Harian sejak keluaran sulungnya lagi. Karya-karya Raja Hamzah mewarnai dunia kartun dan komik Melayu 1950-an hingga 1960-an. Malah, perkembangan dunia kartun dan komik Melayu pada era awal selepas merdeka selari dengan perkembangan profesionnya.
Raja Hamzah menjadi wira dan inspirasi ramai pelukis muda, termasuklah kartunis tersohor Lat. Sebelum menghasilkan "Keluarga Mat Jambul" dalam Berita Harian dan Berita Minggu, Raja Hamzah menerbitkan siri kartun lerang "Dol Keropok dan Wak Tempeh" serta komik-komik cerita seram dalam Utusan Zaman pada 1950-an. "Dol Keropok dan Wak Tempeh" serta "Keluarga Mat Jambul" adalah dua sumbangan penting Raja Hamzah kepada perkembangan dunia kartun Melayu. Menerusi kedua-dua siri ini, beliau menjadi kartunis pertama yang mempersembahkan kisah perhubungan suami isteri dan hidup keluarga dalam kartun-kartun selepas kemerdekaan. Pendekatan yang konsisten dalam menggambarkan tema sosial ini menjadi ikutan, khususnya dalam tradisi kartun lerang selepas Merdeka.
Subjek tersebut dikembangkan oleh Lat menerusi "Keluarga Si Mamat" dalam Berita Minggu, dan "Din Teksi" oleh kartunis Nan dalam Mingguan Malaysia. Menerusi jenaka, siri kartun seumpama itu menjadi wadah menghibur serta mengkritik sikap masyarakat, disamping membuat komentar terhadap isu-isu budaya dan moral semasa.
Analisis terperinci mendapati "Keluarga Mat Jambul" sebenarnya adalah karya adaptasi siri kartun " The Gambols" yang dilukis oleh kartunis terkenal Inggeris Barry Appleby. Dari segi gaya lukisan, seperti Appleby, Raja Hamzah menggunakan pengolahan ringkas dan kemas. Walaupun terdapat banyak persamaan di antara "Mat Jambul" dan "The Gambols", Raja Hamzah berusaha menerapkan elemen-elemen kemelayuan dalam watak-wataknya, misalnya menerusi penampilan pakaian-pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung, batik, kebaya dalam beberapa siri awalnya.
Selain itu, ceritanya juga direka dalam persekitaran budaya tempatan, meskipun wataknya dipinjam dari luar.Mat Jambul muncul selama 24 tahun (1957-1981), sementara "The Gambols" diterbitkan akhbar Daily Express untuk lebih 46 tahun sejak 1950. Siri itu berakhir bila Appleby meninggal dunia pada 1996 (Ketika berumur 86 tahun) . Raja Hamzah meninggal dunia pada tahun 1981 – (Al-Fatihah buat Allahyarham Raja Hamzah).
R.Hamzah atau nama sebenarnya Raja Hamzah merupakan pelukis komik dan kartun 1960-an dan 1970-an. Allahyarham R.Hamzah yang juga mengggunakan nama karyanya Arham adalah salah seorang ilustrator, kartunis dan pekomik yang bertugas dengan Berita Harian. Antara komik-komik yang dilukis sewaktu beliau berkarya ialah strip kartun dan komik Keluarga Si Jambul (Berita Harian), Si Lamri (Utusan Pelajar), Dol Keropok dan Wak Tempe dan turut menyumbang komik kepada majalah Bambino dan Rina (Syarikat Penerbitan Suarasa)