PARIS: Legenda komik seni manga Jepun,
Jiro Taniguchi meninggal dunia semalam di Tokyo pada usia 69 tahun, kata
penerbitnya Casterman.
"Casterman dengan rasa duka cita mengumumkan Jiro Taniguchi meninggal dunia pada 11 Februari," kata syarikat itu menerusi laman web, mengucapkan takziah kepada keluarga artis itu.
Hasil
seni Taniguchi menerima pengiktirafan menerusi karya seperti "The
Walking Man", "The Summit of the Gods" dan "The Magic Mountain". Beliau
dipuji kerana hasil lukisan yang halus dan landskap yang indah.
Dilahirkan
pada 1947 dalam sebuah keluarga sederhana di bandar Tottori, kira-kira
100 kilometer di timur laut ibu negara lama bandar diraja Kyoto. Kartun
pertama yang dihasilkannya diterbitkan pada 1970.
Beliau
sangat popular di Perancis, salah sebuah pasaran terbesar untuk hasil
karya grafik dan pada 2015 Festival Kartun Tahunan yang diadakan di
bandar Angouleme mengadakan pameran untuk mengimbau kembali semua hasil
karyanya.
Ketika
temubual AFP di Tokyo pada 2012, mendiang Taniguchi memberitahu, beliau
tidak menggunakan komputer kerana tidak tahu menggunakannya.
"Saya
tidak mempunyai kemahiran itu. Saya juga tidak tahu kenapa saya lebih
dikenali di luar Jepun. Mungkin kerana hasil karya saya sama dengan
komik Barat, yang saya ikuti lebih 30 tahun hingga ia mempengaruhi minda
bawah sedar saya," katanya. - AFP